Ismail Sabri doakan kerajaan baharu teruskan kestabilan politik

in Nasional by

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendoakan kerajaan yang baharu dibentuk pada Khamis dapat meneruskan kestabilan politik serta berupaya mengekalkan kemampanan ekonomi negara.

Beliau dalam masa sama turut menghargai sokongan seluruh Keluarga Malaysia yang membantu pentadbirannya dalam mendepani cabaran dan memastikan negara terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi.

“Saya merafakkan setinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Tambun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 5 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional (PN) (73 kerusi); Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); dan Bebas (dua).

Selain itu, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.