Jangan bangkitkan kebencian, provokasi

in Lidah Pengarang by

Foto hiasan 123RF

NEGARA kini sedang dalam tempoh pembentukan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada gabungan politik mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, sekali gus membawa kepada situasi Parlimen tergantung.

Rakyat terutamanya diminta kekal bertenang dan menghormati keputusan PRU15 serta pemilihan Perdana Menteri ke-10 yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka.

Bagaimanapun, di media sosial sejak minggu lalu, ada segelintir pihak yang cuba mengeruhkan suasana dengan memuat naik video berbaur perkauman dan menghina institusi raja.

Ada juga yang membuat provokasi menerusi akaun media sosial masing-masing mengungkit kembali peristiwa 13 Mei dan mendakwa ia tidak mustahil berulang.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengingatkan pengguna media sosial agar tidak menimbulkan sebarang provokasi dengan memberikan pandangan berbaur kebencian melibatkan kaum dan agama serta institusi raja.

Sebarang perkongsian bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Ahad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani turut menegaskan agar tiada mana-mana pihak cuba menimbulkan perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam dalam tempoh pasca PRU15.

Ujar beliau, semua elemen telah digerakkan untuk memastikan ketenteraman awam terjamin, malah Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengancam tahap keselamatan negara.

Sebagai langkah berjaga-jaga, PDRM turut melancarkan sekatan jalan raya di lokasi strategik di setiap daerah di seluruh negara secara penugasan 24 jam bermula Selasa.

Sekiranya isu perkauman dan agama tidak dibanteras atau ditangani, ia boleh menggugat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Justeru, hentikan sebarang cubaan untuk memainkan isu-isu yang sensitif dan boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

Sama-samalah kita menjaga keharmonian dan perpaduan yang telah terbina sejak sekian lama bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Semoga ‘perjalanan’ mencari Perdana Menteri ke-10 akan menemui noktah secepat mungkin agar beliau dengan segera boleh menjalankan tugas memimpin rakyat serta mentadbir negara Malaysia.