Jawatan TPM mungkin diberi kepada BN, GPS

in Nasional by

Sidang akhbar Perdana Menteri ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KAJANG – [DIKEMAS KINI] Jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka akan diberikan kepada blok terkuat lain dalam kerajaan perpaduan iaitu BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu adalah amalan biasa dalam setiap kerajaan.

“Oleh kerana jawatan Perdana Menteri adalah dari Pakatan Harapan (PH), biasanya TPM (akan dipilih) dari parti komponen kuat yang lain.

“Setakat ini (di Semenanjung adalah) BN dan di Sabah dan Sarawak, komponen terkuat adalah GPS,” kata beliau pada sidang akhbar pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, di sini, pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terdahulu berkenan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Tambun itu selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara sekitar jam 5.06 petang Khamis.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat angkat sumpah berkenaan menamatkan kemelut politik yang melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas tiada gabungan parti politik meraih kemenangan dengan majoriti mudah.

Sementara itu, Pengerusi PH itu turut mengalu-alukan Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti lain menyertai kerajaan perpaduan.

Anwar berkata, beliau bersedia menerima penyertaan parti-parti lain bagi menyatukan negara.

“Dalam acara pertemuan dengan rakyat yang pertama selaku Perdana Menteri ini, saya jamin keharmonian semua rakyat dan saya tetap bersedia menerima penyertaan semua parti yang lain untuk jadikan negara ini satu.

“Saya bersedia terima rakan-rakan parti lain termasuk dari PN walaupun kenyataan pengerusinya pada peringkat awal tidak memberangsangkan iaitu mempertikaikan keabsahan kerajaan perpaduan dan jumlah sokongan yang diterima,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian untuk memberi sebarang jawatan dalam kabinet kepada individu yang terlibat dalam kes rasuah dan penyelewengan, beliau menegaskan bahawa pendirian mereka tetap jelas.

“Tetapi sekiranya melibatkan kerajaan perpaduan, kita perlu bincang. Yang membezakan adalah apabila hukuman dijatuhkan.

“Bila ada pendakwaan, PH sukar untuk teruskan tetapi bagi ruang untuk kita berbincang kerana saya belum berbincang secara terperinci dengan pihak lain,” ujarnya.