Kerajaan baharu, penjawat awam kekal profesional

in Nasional by

Adnan Mat

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyatakan bahawa penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh profesional bagi memastikan dasar dan polisi dirancang oleh kerajaan baharu dapat dinikmati oleh rakyat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, beliau yakin kestabilan dalam pentadbiran kerajaan mampu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan ekonomi agar negara mampu mendepani cabaran yang mendatang.

Menurut beliau, Cuepacs juga memberikan sokongan kepada pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Semoga kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membawa negara kembali stabil dan bergerak maju ke hadapan bagi menghadapi persekitaran ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

“Cuepacs berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan keharmonian dalam perkhidmatan awam supaya sistem penyampaian kepada rakyat boleh diperkasakan lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pihaknya mengambil maklum beberapa janji dibuat oleh pimpinan politik semasa tempoh berkempen pada pilihan raya umum lalu antaranya melibatkan komitmen untuk mengecilkan saiz kabinet atau jumlah menteri sekiranya diberi mandat.

Jelasnya, kesatuan itu menghargai segala komitmen yang diberikan terutama apabila ia melibatkan kesan langsung kepada jentera pentadbiran kerajaan yang ditunjangi oleh penjawat awam.

“Walau apa jua komitmen dan janji tersebut, Cuepacs berharap kepimpinan Perdana Menteri mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta semua Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian-kementerian yang ada ketika ini.

“Perbincangan bersama dengan pemimpin tertinggi perkhidmatan awam ini perlu bagi mengelakkan keputusan yang diambil kelak memberi kesan yang tidak baik kepada jentera pentadbiran kerajaan.

“Hal ini sudah pasti memberi kesan kepada sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat yang pada akhirnya mencemarkan nama baik penjawat awam selaku kumpulan pelaksana,” ujarnya.

Jelas Adnan, Cuepacs juga tidak mahu keputusan terburu-buru yang mengganggu akan memberi kesan kepada dasar semasa yang sedang dilaksanakan penjawat awam.

“Sudah tentu ia memberi kesan kepada pencapaian atau sesetengah dasar itu akan tergantung tidak dapat mencapai hasil yang diingini.

“Perkara ini bukan sahaja merugikan rakyat secara langsung malah turut memberi kesan kepada sumber kewangan negara yang mungkin sudah banyak dibelanjakan sebelum ini.

“Apabila dasar atau program pembangunan tersebut diaudit, sudah tentu akan menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara kerana ia tergantung atau tidak dapat diteruskan kerana perubahan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting bagi setiap kerajaan memerintah mengadakan perbincangan dengan KSN dan semua KSU bagi memastikan segala dasar baik dan memberi manfaat kepada rakyat tidak dibuang begitu sahaja hanya kerana mahu mengurangkan saiz kabinet.