Kerajaan Persekutuan diharap tidak anaktirikan Perlis

in Politik by

Noor Amin

KANGAR – Pakatan Harapan (PH) Perlis berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis tidak akan menganaktirikan negeri ini yang ditadbir Perikatan Nasional (PN).

Pengerusinya, Noor Amin Ahmad berkata, pihaknya berharap kerajaan Persekutuan akan meneruskan penyaluran dana dan bantuan kepada rakyat negeri ini.

“PH Perlis berharap pentadbiran Persekutuan akan terus membantu memastikan rakyat di negeri ini tidak dianaktirikan. Perlis adalah sebuah negeri yang memerlukan suntikan dana daripada kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan Perlis baharu yang kini ditadbir PN negeri tidak mempunyai banyak pilihan, terpaksa mengikut cara lama iaitu bergantung kepada kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan dana.

“Pada masa sama, kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah segera untuk memikirkan cara baharu menarik pelabur dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan supaya Perlis tidak perlu bergantung kepada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN menyapu bersih semua tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau, selain menang di 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Satu-satunya kerusi yang terlepas daripada penguasaan PN adalah DUN Indera Kayangan yang dimenangi calon PH, Gan Ay Ling.

Dalam perkembangan sama, Noor Amin berkata, pihaknya berharap pentadbiran baharu di bawah kepimpinan Anwar akan berusaha menjayakan cita-cita reformasi.

“PH Perlis mengucapkan syukur kepada Tuhan, merafak sembah setinggi penghargaan kepada Seri Paduka Baginda atas limpah perkenan menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Tahniah diucapkan kepada Anwar atas pelantikan sebagai Perdana Menteri serta semua parti politik memilih untuk menyelesaikan kemelut politik semasa demi kebaikan negara. Cabaran kita banyak dan kita mesti berpadu untuk bersama menanganinya,” katanya.