Kerjasama parti politik bantu Anwar kemudi negara

in Politik by

Anthony Loke

SHAH ALAM – Semua pihak perlu bekerjasama dalam membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada Khamis.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan yang bakal ditubuhkan adalah kerajaan perpaduan dan memerlukan semangat bersatu padu daripada gabungan parti politik.

“Kita perlu bekerjasama dan bersatu padu dalam membantu Perdana Menteri mengemudi negara keluar daripada kemelut yang dihadapi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 5 petang ini di lstana Negara.

Dalam pada itu, Anthony juga mengarahkan semua peringkat pimpinan DAP supaya tidak menganjurkan sebarang bentuk sambutan mahupun acara konvoi kenderaan susulan pelantikan tersebut.

“Kami juga menyeru semua pihak bertenang dan menghormati keputusan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja,” ujarnya.