Komponen BN sahkan surat usul tak percaya terhadap Zahid

in Politik by

Surat usul tidak percaya terhadap Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mengesahkan kesahihan surat usul tidak percaya terhadap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya meletakkan jawatan.

Mereka bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kandungan surat berkenaan.

Surat yang ditandatangani oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup itu dihantar kepada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Dalam surat tersebut, ketiga-tiga pemimpin parti komponen itu meminta Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berundur secara terhormat serta-merta dan digantikan Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berdasarkan surat yang tular itu, tindakan tiga parti komponen itu dibuat selepas Ahmad Zahid didakwa mengkhianati keputusan dicapai menerusi mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada jam 10 pagi Selasa.

Menerusi mesyuarat berkenaan, BN berpendirian untuk berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan termasuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Perkara ini sudah diusulkan Presiden MIC dalam mesyuarat semalam, tetapi perjalanan mesyuarat terganggu apabila Pengerusi membenarkan Ahli Parlimen BN memasuki bilik mesyuarat walaupun mesyuarat Dewan Tertinggi BN masih belum selesai.

“Kami akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi BN untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya Pengerusi enggan berundur secara terhormat pada hari ini,” kata surat tersebut.