Penduduk Rantau Panjang 'penat' hadapi banjir

in Analisis Sinar by

Foto hiasan

KELANTAN begitu sinonim dengan banjir yang berlaku pada musim tengkujuh bermula pertengahan November sehingga Februari setiap tahun.

Sabtu lalu, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencatatkan sejarah tersendiri di Kelantan apabila penduduk di beberapa kampung di Rantau Panjang terpaksa menaiki bot untuk menjalankan tanggungjawab memilih kerajaan dalam kesukaran meredah banjir tidak berkesudahan.

Rantau Panjang merupakan kawasan yang sering banjir dan biasanya lokasi pertama akan dinaiki air kerana limpahan Sungai Golok.

Tahap reda penduduknya sudah melebihi ‘batas kemanusiaan’. Mereka sudah penat mengeluh. Bencana banjir seolah-olah menjadi acara tahunan.

Mereka yang merupakan 93,248 pengundi berdaftar mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah lali jika banjir menenggelamkan pekan Rantau Panjang. Selagi tidak membahayakan nyawa, mereka anggap banjir seumpama pesta sahaja.

Rumah-rumah dibina bertiang tinggi kerana amat dekat dengan Sungai Golok. Jarak paling hampir 50 meter, selain hanya terpisah dengan sebatang jalan kampung.

Semasa PRU15, mereka sebenarnya berdepan masalah ‘banjir termenung’ yang mengambil masa antara tiga minggu untuk surut, malah mungkin juga sebulan.

Bencana banjir berlaku setiap tahun, namun tahapnya tidak sama. Pada tahun tertentu, mungkin banjir besar berlaku dan tahun berikut lain pula keadaannya.

Dalam kes banjir di Rantau Panjang baru-baru ini, selain kadar taburan hujan, mereka mendakwa banjir yang melanda di beberapa buah kampung berpunca daripada projek tebatan banjir (PTB) dibina di kawasan berkenaan.

Kegagalan PTB berfungsi dengan berkesan dikatakan penyebab beberapa kawasan sebelum ini tidak pernah banjir turut dilanda bencana. Kejadian itu bukan sahaja memusnahkan harta benda penduduk, malah mengancam kehidupan mereka.

Sejak projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dibina, sudah tiga kali banjir besar melanda Kampung Tersang, Kampung Gual To’ Deh, Kampung Gual Periok, Kampung Padang Licin dan Kampung Kusar.

Masalah didakwa berpunca daripada projek tebatan banjir yang dibina sejauh 30 kilometer dari Tok Uban, Pasir Mas ke Lancang. Ia dikatakan mempunyai pintu air tidak cukup luas untuk aliran air keluar, sekali gus melimpah masuk ke kampung berkenaan. Menjadi kemusykilan apabila PTB yang sepatutnya menangani isu banjir kini mengeruhkan lagi keadaan.

Situasi Parlimen tergantung selepas PRU15 dijangka memburukkan lagi keadaan. Memang kerajaan caretaker masih berjalan, selain pihak berkuasa yang sudah bersedia 24 jam, namun penduduk mahukan solusi jangka masa panjang.

Kerajaan Kelantan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu tingkatkan peranan membantu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menangani isu tersebut.

Kerajaan pasca PRU15 perlu berbuat sesuatu, misalnya membayar pampasan kepada penduduk yang mengalami kerugian. Dalam merancang strategi menstabilkan ekonomi dan harga barangan, ada tugas getir menanti. Nasib penduduk Rantau Panjang perlu pembelaan.

Bencana banjir baru permulaan, masih jauh menuju akhir monsun pada Februari. Itu kebimbangan yang dinyatakan oleh penduduk Kampung Gual To’Deh.

Berdasarkan sejarah menerusi tulisan Namri Sidek, menyatakan pandangan penyelidik kajian alam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Zaki Zainudin pada 2015 yang mengistilahkan banjir di Pantai Timur sebagai unik kerana kadar hujan yang besar.

Tahun 1886 dipercayai tahun pertama peristiwa banjir besar berlaku di Tanah Melayu dan Kelantan antara negeri menerima kesan paling buruk bencana alam tersebut.

Diikuti beberapa lagi banjir pada 1967 dengan 55 terkorban, 1971 (32 terkorban dan perintah darurat bencana), manakala banjir 1926 dianggap oleh pengkaji sejarah sebagai bencana terbesar memberi kesan kepada negara dengan 50 jam hujan tanpa henti.

Di Kuala Lumpur, orang ramai guna sampan ke tempat kerja kerana sekitar bandar ditenggelami air setinggi 1.8 meter. Di Perak, 800 rumah lenyap dibawa arus, manakala di Pahang, beberapa kampung lenyap dengan air setinggi 5.5 meter dan penduduk bermalam di atas pokok.

Kelantan paling dahsyat. Walaupun penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi sehingga 15.24 meter, namun pertambahan air setinggi 9.1 meter menyebabkan keadaan kucar-kacir serta 1,700 rumah musnah.

Maka, segeralah mencari penyelesaian kepada masalah banjir yang dihadapi agar keselamatan rakyat terjamin.

* Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan.