PN setuju pertimbang kerajaan perpaduan

in Politik by

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan bersama parti dengan haluan yang sama.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi yang diadakan pada Khamis.

“Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Selasa, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian gabungan itu yang menolak untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) meskipun selepas permintaan itu dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Setakat Khamis, antara parti yang memberikan respons positif terhadap idea pembentukan kerajaan perpaduan ialah Pakatan Harapan (PH), UMNO, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).