Selangor cadang tambah hakim Mahkamah Tinggi Syariah

in Edisi by

Mohd Zawawi

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengemukakan kepada kerajaan baharu untuk menambah perjawatan hakim di Mahkamah Tinggi Syariah bagi memperluaskan lagi operasi dan pengendalian institusi itu di beberapa daerah di negeri ini pada masa hadapan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, pada masa ini terdapat kekangan untuk proses tersebut dilaksanakan rentetan daripada dasar pembekuan dan pengecilan saiz perjawatan perkhidmatan awam diumumkan kerajaan sebelum ini.

Jelas beliau, sekiranya dasar itu berterusan sudah pasti pertambahan jawatan hakim Mahkamah Tinggi Syariah tidak dapat dilaksanakan.

“Pada masa ini Mahkamah Tinggi Syariah hanya beroperasi di Shah Alam dan Gombak Timur dan tidak dapat diperluaskan di daerah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri tentang kemungkinan kerajaan Selangor bercadang memperluaskan operasi Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di daerah lain pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Mohd Zawawi memberitahu, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) sedang mempertimbangkan cadangan mewujudkan keperluan Mahkamah Tinggi Syariah di daerah yang menerima jumlah pendaftaran kes mahkamah tinggi.

Ujar beliau, penempatan atau operasi di Mahkamah Tinggi Syariah terpilih hanya dilaksanakan sekiranya permohonan pertambahan waran hakim diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pengoperasian Mahkamah Tinggi Syariah Gombak Timur di Selayang terpaksa dibuat di Shah Alam kerana bangunan mahkamah itu belum sedia untuk diduduki.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Selangor percaya sekiranya operasi Mahkamah Tinggi Syariah diperluaskan di Selangor ia memudahkan urusan orang awam terutama bagi daerah yang jauh.

“Mereka yang berhadapan kes di Mahkamah Tinggi Syariah tidak perlu datang ke Shah Alam untuk memfailkan, membicara dan mendengar kes tersebut.

“Malah ia menunjukkan komitmen kerajaan Selangor dalam memartabatkan perundangan syariah dan syiar Islam di negeri ini,” kata beliau.