TikTokers perlu bawa masyarakat keluar daripada kekeliruan

in Nasional by

Hussamuddin (tujuh dari kiri) dan Fazrul (lima dari kiri) bersama peserta program Pertemuan Khas Menghadapi Krisis Extremisme di Media Sosial (TikTok).

SHAH ALAM – TikTokers perlu menjadi watak penting dalam membawa masyarakat keluar daripada sebarang kekeliruan atau fakta yang tidak betul berlegar di dalam media sosial.

Penasihat Kumpulan Karangkraf (Karangkraf), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, banyak pengisian atau ‘content’ yang dibuat dalam TikTok mampu mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Peranan anda sebagai TikTokers adalah kena faham dan bawa mesej yang betul supaya masyarakat tidak berada dalam keadaan keliru.

“Kebanyakan mereka keliru dengan pelbagai mesej yang tidak sahih di media sosial terutama di TikTok sehingga menimbulkan situasi yang tidak baik dalam masyarakat.

“Jadi, tugas TikTokers memainkan peranan dengan pengikut yang berjuta-juta itu untuk beri impak sekali gus membetulkan sebarang fakta yang salah atau kekeliruan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu program Pertemuan Khas Menghadapi Krisis Extremisme di Media Sosial (TikTok) yang dihadiri oleh hampir 30 TikTokers di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf pada Khamis.

Program itu memberikan penerangan tentang peranan TikTokers yang turut menampilkan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail dan Peguam, Hafiz Roslan.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan TikTokers supaya tidak menyalahgunakan agama dalam sebarang ‘content’ yang dibuat.

“Jangan salah guna ‘interaction’ dalam al-Quran untuk tujuan tertentu kerana al-Quran ini harus difahami secara tadabbur.

“Pengisian yang diambil daripada al-Quran perlu dilihat secara keseluruhan dan tidak boleh diambil separuh-separuh,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Fazrul menjelaskan TikTokers perlu bijak untuk menilai pengisian dan menggunakan pendekatan adil seperti digariskan dalam al-Quran.

“Apabila kita nampak sesuatu yang tidak adil, tidak betul, maka tanggungjawab kita untuk mencari keadilan dan beri penjelasan.

“Penjelasan itu perlu dalam bentuk yang berfakta sekali gus menangkis sebarang kekeliruan hasil sesuatu perkara yang tidak betul disebarkan oleh orang lain,” katanya.