120 'hotspot' penceroboh HSK dikesan di Perak

in Edisi Perak by

Zahari (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Perhilitan, Alexzender Clement Nabau (dua dari kanan) yang telah menyertai operasi Sistem Rondaan SMART di Sungai Siput.Pasukan Sistem Rondaan SMART memusnahkan tapak khemah milik pemburu haram di HSK sekitar Perak. -Foto: Ihsan Jabatan Perhutanan PerakDalam operasi, jejak hidupan liar turut direkodkan dalam operasi Sistem Rondaan SMART. Foto: ihsan Jabatan Perhutanan Perak

SUNGAI SIPUT – Sebanyak 120 lokasi panas (hotspot) pencerobohan, pemburuan haram dan penerokaan hasil bijih timah telah dikenal pasti di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) daerah Kuala Kangsar, Hulu Perak serta Larut Matang dan Selama.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim berkata, berdasarkan risikan terdapat dua lokasi baharu dikesan aktif menerusi operasi bersepadu sistem rondaan ‘Spatial Monitoring and Reporting Too’ (SMART).

“Dua lokasi tersebut mempunyai kesan pemburu haram berikutan penemuan jerat bidas, sangkar buruan, sira buatan dan tapak khemah haram di kawasan Hutan Simpan Amanjaya.

“Penemuan itu memberikan gambaran terhadap aktiviti yang sedang berlaku dan kita mengambil langkah memusnahkan tapak khemah selain meneruskan aktiviti pemantauan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Operasi Bersepadu Sistem Rondaan SMART di Kompleks Latihan Perhutanan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, kebanyakan lokasi ‘hotspot’ dilihat tidak aktif dan ini membuktikan keberkesanan operasi sama yang dijalankan Ogos lalu.

Tambah Zahari, penjenayah juga dikesan mewujudkan lorong-lorong tikus sebagai akses membawa keluar hasil hutan di sepanjang laluan Jalan Gerik-Jeli.

**media[1999938]**

“Kesan pembukaan laluan masuk turut dikesan dalam operasi ini. Laluan ini dibuat halangan sebelum ini, namun mereka membuat laluan baharu.

“Selain itu, kita turut mengesan pencerobohan hutan bagi tujuan mendulang bijih timah di alur sungai. Ia menjadi kesalahan membawa keluar hasil secara haram,” jelasnya.

Tambahnya, operasi berkenaan disifatkan sebagai serampang dua mata apabila dapat mengumpul data hidupan liar selain membanteras jenayah menerusi rondaan.

“Pemantauan dan penguatkuasaan dilakukan secara trekking dan menggunakan pacuan empat roda serta penggunaan peralatan seperti dron, telefon satelit dan alat Global Positioning System (GPS).

“Aktiviti SMART dapat mengukuhkan pemantauan, risikan, siasatan dan pendakwaan jenayah hidupan liar dan perhutanan di peringkat negeri,” katanya.

**media[1999936]**

Seramai 91 pegawai dan anggota dari Jabatan Perhutanan Perak, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Mineral dan Geosains, Pasukan Gerakan Am (PGA), Perbadanan Taman Negeri dan badan bukan kerajaan iaitu WWF-Malaysia serta Rimau terlibat dalam operasi itu sejak Isnin lalu.