Anwar mampu bawa Malaysia ke arah tamadun gemilang: Mufti

in Nasional by

Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGETOWN – Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini dapat membawa Malaysia ke arah pembinaan tamadun yang gemilang pada masa hadapan apabila dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, beliau yakin dan optimis dengan kepimpinan Anwar berdasarkan kepada bakat kepimpinan semula jadi yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada beliau sebagai seorang pemimpin ulung.

Menurutnya, Anwar juga memiliki pengalaman luas dalam pelbagai bidang pentadbiran tertinggi negara kerana pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri selain mengetuai beberapa kementerian yang penting termasuk kewangan, pendidikan dan pertanian.

“Kecemerlangan beliau dalam bidang kewangan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

“Anwar boleh dianggap sebagai seorang muslih (reformis) dan mujaddid (pembaharu) yang akan membawa Malaysia ke arah pembinaan tamadun yang gemilang pada masa hadapan dengan izin ALLAH SWT.

“Keintelektualan beliau mendapat pengiktirafan seluruh dunia dan bagi umat Islam khususnya, Anwar adalah ibarat sebutir permata gemilang dan satu aset terbilang,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Wan Salim turut berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana telah berjaya menghayati semangat Keluarga Malaysia dalam tempoh menunggu pembentukan kerajaan perpaduan yang akan menerajui pemerintahan negara untuk lima tahun akan datang.

“Syukur tidak terhingga ke hadrat Ilahi yang mencucuri rahmat dan kasih sayangNya ke atas Malaysia tercinta dan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai etnik, agama dan budaya.

“Terima kasih para pemimpin dan anggota parti-parti politik daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak dan Parti Warisan yang menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam mencapai kesepakatan untuk membentuk kerajaan perpaduan,” katanya.

Menurut Wan Salim, ia sekali gus menamatkan kemelut politik yang menyelubungi negara sejak keputusan Pilihan Raya Umuk ke-15 diumumkan baru-baru ini.

“Kini sinar baharu mulai terpancar bersama harapan tinggi seluruh rakyat Malaysia untuk melihat perubahan landskap politik tanah air menuju ke era baharu yang menjanjikan masa depan lebih cerah bagi seluruh rakyat jelata,” katanya.

Beliau menambah, sebagai rakyat Malaysia, beliau yakin semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama gembira dengan perkembangan itu.

“Semestinya rakyat bersyukur kerana dikurniakan seorang pemimpin yang amat berwibawa dan berkemampuan untuk mengemudi negara ke puncak kemajuan dan kecemerlangan yang didambakan.

“Saya mohon semua rakyat Malaysia bersama-sama membangunkan negara untuk lebih cemerlang di samping memberi sokongan kepada Anwar sebagai pemimpin baharu negara,” katanya.

Pada Khamis, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) disahkan dilantik menjadi Perdana Menteri ke-10.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.