Aura pemain ke-12 Harimau Selatan barakan semangat JDT

in Sukan by

Shahrul Saad – Foto Facebook Johor Darul Ta’zim

SOKONGAN padu pemain ke-12 Harimau Selatan mampu pemangkin semangat para pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia 2022.

Menurut pertahanan JDT, Shahrul Saad, dia meminta penyokong setia Harimau Selatan turun beramai-ramai pada perlawanan akhir Sabtu ini bagi merealisasikan kejuaraan keramat bola sepak negara tersebut.

Tambahnya, dia dan para pemain sedia mengubati kekecewaan penyokong di pentas akhir pada musim lalu malah berasakan JDT kini sedang berada momentum terbaik bagi menamatkan pemburuan kejuaraan sejak 2019.

“Memang rasa sangat bersyukur kerana dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekali lagi bersama JDT setelah mengalami kekecewaan pada musim lalu.

“Untuk final kali ini, harap kita akan buat yang terbaik demi memastikan kejuaraan mampu menjadi milik JDT.

“Kepada penyokong pasukan Johor, diharapkan boleh datang beramai-ramai semasa di perlawanan akhir kerana kami semua memerlukan sokongan anda.

“Kita akan cuba ubati kekecewaan mereka apabila kita tewas sebelum ini dan harapkan rezeki ada untuk JDT pada musim ini,” katanya.

Shahrul menjadi antara watak utama di bahagian pertahanan Harimau Selatan apabila kerap digandingkan bersama Feroz Baharudin atau Jordi Amat selepas kecederaan yang dialami Shane Lowry.

JDT akan berdepan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Jika berjaya menjulang trofi Piala Malaysia pada Sabtu ini, ia bakal menjadi gelaran kedua peribadi buat pemain berusia 29 tahun itu selepas pernah memenanginya bersama Perak, pada musim 2018.