Elaun guru KAFA Selangor minimum RM1,500 sebulan

in Edisi Selangor KL by

Pelarasan elaun minimum RM1,500 kepada guru KAFA Selangor bermula Januari depan. – Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan melaksanakan pelarasan elaun minimum RM1,500 kepada guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) bermula Januari depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, seramai 2,825 guru KAFA akan menerima manfaat tersebut membabitkan peruntukan RM4.8 juta.

Menurutnya, pelarasan elaun itu dilakukan susulan terdapat antara guru KAFA masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

“Peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak untuk menjadi Islam sejati dan insan syumul.

“Inisiatif kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada pendidikan Islam di Selangor kerana melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama,” katanya menerusi Pembentangan Bajet Selangor 2023 pada Jumaat.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif khas RM100 sebulan kepada penyelia KAFA di seluruh Selangor.

Jelasnya, penyelia KAFA memainkan peranan penting dalam memastikan pengurusan KAFA di peringkat daerah dan negeri berjalan lancar serta bersistematik mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Seramai 32 orang penyelia KAFA akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan berjumlah RM38,400 setahun.

“Sedikit sebanyak usaha ini dapat meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dalam pengurusan KAFA Selangor khususnya,” katanya.

Pada perkembangan sama beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneruskan inisiatif pemberian subsidi yuran Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) membabitkan peruntukan RM5 juta bagi meringankan beban ibu bapa.

Ujarnya, inisiatif itu mula diperkenalkan pada tahun ini dan telah berjaya menyelesaikan isu tunggakan yuran bulanan 14,000 murid dalam kalangan B40 yang pendapatan keluarga terjejas susulan penularan Covid-19.

“Bayaran tersebut akan digunakan bagi menampung pembayaran utiliti termasuk sewaan premis, baik pulih bangunan, penyelenggaraan, kemudahan akses internet dan elaun guru rakyat.

“Usaha ini diharap menjadi suntikan dan galakan kepada masyarakat untuk memberikan pendidikan agama Islam untuk anak-anak berusia tujuh hingga 12 tahun,” katanya.