Elaun ketua kampung Selangor naik kepada RM1,500 sebulan

in Edisi Selangor KL by

Infografik mengenai kenaikan elaun ketua kampung di Selangor daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mencadangkan penyelarasan elaun Ketua Kampung tradisi, ketua kampung baru/bagan serta ketua komuniti India (KKI) daripada RM1,200 sebulan kepada RM1,500 sebulan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan tambahan sebanyak RM1.843 juta pada tahun depan.

Menurut beliau, kadar elaun baharu itu bermula pada Januari tahun sama dan berharap peningkatan elaun Pengerusi Majlis Pemuafakatan Komuniti Kampung (MPKK) dan KKI memberi kualiti perkhidmatan terbaik dan seterusnya melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan efisien dan penuh integriti.

“Ini sekali gus diharap membantu kerajaan negeri mencapai matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya semasa berucap dalam Pembentangan Bajet 2023 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, peningkatan kadar elaun itu selaras dengan bebanan tugas, kos sara hidup semakin meningkat serta cabaran rumit yang dihadapi di kawasan komuniti masing-masing terutamanya sewaktu bencana dan endemik.