Ghana pertikai keputusan pengadil beri penalti kepada Portugal

in Sukan by

Sepakan penalti yang diberikan kepada Ronaldo dipertikai oleh Otto selepas mendakwa terjahan yang dilakukan pemainnya adalah bersih. – Foto EPA

PENGENDALI Ghana, Otto Addo mempertikai keputusan pengadil perlawanan yang menghadiahkan sepakan penalti kepada Portugal sekali gus menyebabkan pasukannya tewas pada aksi pertama mereka di Piala Dunia Qatar 2022.

Menurut Otto, dia berasakan keputusan Ismail Elfath, untuk memberikan sepakan penalti adalah tidak tepat dan percaya terjahan yang dilakukannya pemainnya Mohammed Salisu ke atas Cristiano Ronaldo adalah bersih.

“Saya tidak tahu apa yang mereka lakukan. Adakah VAR menjalankan tugasnya dengan baik untuk memberikan penalti kepada Portugal.

“Berdasarkan pemerhatian saya mengenai situasi tersebut, ia luar biasa. Jika anda melihat ulangannya, kami menyentuh bola namun sebaliknya pengadil kata ia satu kekasaran terhadap kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium 974, Ras Abu Aboud, Doha, anak buah Fernando Santos yang merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk merobek gawang skuad Ghana.

Gol-gol Portugal dijaringkan Ronaldo, Joao Felix dan Rafael Leao manakala Ghana jaringan dihasilkan menerusi Mohammed Kudus dan Osman Bukari.

Kemenangan tersebut menyaksikan Portugal memimpin kumpulan H dengan mengutip tiga mata di belakang Korea Selatan.