Ibu tunggal puas realisasikan cita-cita

in Edisi Johor by

Hasnida bersama Ijazah Sarjananya sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-66 di Dewan Sultan Iskandar, Skudai pada Jumaat.Hasnida

JOHOR BAHRU – Setelah dua kali gagal menamatkan pengajian di peringkat ijazah, Hasnida Ahmad, 51, kini pastinya menjadi antara insan paling gembira apabila menerima Ijazah Sarjana sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-66 di Dewan Sultan Iskandar, Skudai pada Jumaat.

Menurut ibu tunggal lima anak itu, kejayaan berkenaan turut membuktikan kepada semua pihak bahawa usia bukannya penghalang untuk seseorang itu berjaya dalam pembelajaran asalkan memiliki kemahuan dan cita-cita.

Malah, guru matematik SM Kayu Ara Pasong itu kini memasang cita-cita untuk meneruskan pembelajarannya di peringkat Doktor Falsafah (Phd) dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah…saya berjaya menamatkan pengajian saya seperti cita-cita saya sejak kecil dahulu…walaupun dua kali gagal kerana saya tidak ke luar negara pada 1993 selain tidak menamatkan pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) pada 2000.

“Ketika itu juga, saya berpisah dengan suami… bagaimanapun, saya kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) pada 2012 dan berjaya menamatkan pengajian saya dalam bidang matematik pada 2016.

“Pada 2020 pula, saya nekad meneruskan pengajian saya di peringkat Sarjana dan alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian saya di UTM,” katanya kepada Sinar Harian.

**media[1999793]**

Untuk rekod, Hasnida dengan berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana berkenaan menerusi kajiannya yang bertajuk ‘Kepuasan kerja daripada aspek pengurusan dalam kalangan guru transformasi 2025.’

Menceritakan mengenai pengalamannya belajar bagi mendapatkan Ijazah Sarjana berkenaan, Hasnida berkata, dia sebenarnya berdepan dengan masalah dari segi bahasa bagi menyelesaikan kajiannya.

Katanya, sebagai seorang graduan dalam bidang matematik, dia memang berdepan kesukaran bagi memulakan kajian berkenaan hingga meminta bantuan daripada rakan-rakan.

“Saya orang matematik, jadi saya sukar untuk mereka ayat atau perkataan. Jadi, untuk mengatasi masalah ini saya terpaksa meminta bantuan daripada rakan-rakan saya.

“Alhamdulillah, mereka banyak membantu saya daripada mula saya memulakan kajian sehingga selesai,” jelasnya.

Sementara itu, Hasnida turut terharu apabila kesemua anaknya nyata memberikan sokongan terhadapnya untuk menamatkan pengajian di peringkat sarjana berkenaan.

Malah, mereka (anak-anak) turut memasak untuknya apabila mendapati dia tidak keluar dari bilik kerana sibuk mengulangkaji selain menyiapkan tugasan dan kertas kajiannya.

“Anak-anak sebenarnya cukup ‘supportive ‘dan menyokong saya. Insya-ALLAH, selepas ini saya akan teruskan cita-cita dengan meneruskan pembelajaran di peringkat PHD pula,” ujarnya.