Kuala Kedah dilanda fenomena air pasang besar

in Edisi Utara by

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar melakukan pemantauan di kawasan Pekan Kuala Kedah pada Jumaat.

KUALA KEDAH – Fenomena air pasang besar sekali lagi melanda Kuala Kedah sehingga bacaan paras air laut mencecah setinggi 2.99 meter (m) awal pagi Jumaat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bacaan paras air laut dicatatkan didapati lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu 2.95 m pada Khamis.

Beliau memaklumkan, antara kawasan dinaiki air ialah Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Pekan Kuala Kedah.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar telah melakukan pemantauan di sekitar kawasan terbabit antara jam 12.30 tengah malam hingga 2 pagi.

“Hasil pemantauan mendapati terdapat sedikit limpahan air di pekan Kuala Kedah dan Pasar Kota Marina kesan daripada air pasang besar itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Norlizawati berkata, terdapat juga kenaikan paras air di Terminal Feri Kuala Kedah dan Taman Seri Putra Kuala Kedah.

Kata beliau, bagaimanapun rumah dan premis perniagaan hanya terjejas di kawasan luar.

“Keadaan adalah terkawal dengan tiada angin dan hujan dilaporkan berlaku ketika kejadian air pasang besar sekali gus tidak menjejaskan aktiviti setempat,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah sewajarnya jika air laut memasuki kediaman.

Pada Khamis, fenomena air pasang besar berlaku di Kuala Kedah menyebabkan paras air laut naik mencecah 2.95 m sehingga melimpah ke beberapa kawasan.