Penjawat awam Sabah terima bantuan khas RM1,000

in Edisi Sabah Sarawak by

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Sabah mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan setengah bulan gaji dengan kadar maksimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika pembentangan Bajet Sabah 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sini pada Jumaat.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, bantuan khas itu akan dibayar pada Januari tahun depan kepada seramai 20,271 penjawat awam di negeri ini.

“Kecekapan penjawat awam dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tidak berbelah bahagi amat dihargai.

“Justeru dalam Bajet 2023, kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan setengah bulan gaji dengan kadar minima RM1,000 kepada 20,271 orang penjawat awam negeri dan akan dibayar pada Januari 2023.

“Bayaran Bantuan Khas ini diharap akan dapat meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak-anak dan untuk sambutan perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Hajiji turut berkata, bantuan khas sebanyak RM500 juga diberikan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan yang akan dibayar pada April 2023.