Penjawat awam Selangor dapat BKK dua bulan setengah gaji

in Edisi by

Amirudin

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan ( BKK ) tahun 2022 kepada semua anggota berkelayakan dan berkhidmat di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebanyak dua bulan setengah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian BKK kali pertama minimun sebanyak RM1,000 itu telah dilaksanakan menerusi insentif khas Rahmah Ramadan 2022 sempena Hari Raya Aidilfitri lalu.

“BKK kali kedua, insentif satu bulan gaji minimum RM1,000.00 dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM37.63 juta akan dibayar pada 29 Disember depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Pembentangan Bajet 2023 semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Menurut Amirudin, bagi BKK kali ketiga pula iaitu insentif sebanyak setengah bulan gaji minimum RM1,000 pula akan dibayar pada Februari tahun depan.

“Pemberian BKK ini bagi meringankan beban penjawat menampung persiapan persekolahan sesi 2023/2024 yang akan bermula pada pertengahan Mac tahun depan.

“Pemberian BKK ini dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat anggota yang berkelayakan dalam garis panduan pemberian BKK yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM),” ujarnya lanjut.