Perlis kecilkan saiz Exco

in Politik by

Dari kiri: Izizam, Mohd Shukri. Muhammad Azmir, Fakhrul Anwar, Razali, Megat Hashirat, dan Wan Badariah.
KANGAR – Senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Exco) yang diumumkan pada Jumaat menyaksikan jumlahnya dikecilkan kepada enam portfolio berbanding lapan sebelum ini.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, langkah mengecilkan jumlah Exco itu dibuat untuk meningkatkan prestasi kerja di samping menjimatkan kos.

“Kita kecilkan bilangan Exco ini adalah untuk meningkatkan prestasi. Ibarat orang tua-tua cerita pada zaman Jepun dulu bila 10 orang tak boleh angkat sebatang kayu, kena buang dua orang.

“Suruh dia orang angkat, insya-ALLAH dengan kemampuan yang ada mereka akan berusaha lebih.

“Selain untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan itu sendiri,” katanya kepada pemberita di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini pada Jumaat.

Terdahulu, enam ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) mengangkat sumpah jawatan sebagai Exco di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Arau pada Jumaat.

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN berjaya meraih kesemua kerusi DUN Perlis kecuali di Indera Kayangan yang dimenangi calon Pakatan Harapan, Gan Ay Ling.

Mengulas mengenai pemilihan Exco tersebut, Mohd Shukri memberitahu, lantikan itu berdasarkan kebolehan berdasarkan portfolio disandang serta jawatan dalam parti.

Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang mengetuai portfolio Pentadbiran dan Kewangan, Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa, Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri, Hal Ehwal Tanah dan Sumber Asli, Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru.

Sementara ADUN Santan, Muhammad Azmir Azizan memegang portfolio Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Sumber Manusia, Penerangan serta Badan Bukan Kerajaan.

ADUN Simpang Empat, Razali Saad dipertanggungjawabkan sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Kemajuan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan serta Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Manakala ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Penjaja dan Peniaga Kecil, Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana.

Exco Kemudahan dan Prasarana Pengangkutan, Hubungan dan Kerjasama Sempadan serta Penyelarasan Penguatkuasaan Bersepadu dan Aduan Awam diketuai ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim.

ADUN Pauh, Megat Hashirat Hassan dipertanggungjawabkan sebagai Exco Sains, Teknologi dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Alam Sekitar, Bioteknologi dan Teknologi Hijau, Perpaduan Masyarakat serta Kesihatan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana serta Kebudayaan, Kesenian dan Warisan digalas ADUN Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad.