Portugal lepasi ujian Ghana, Ronaldo cipta sensasi

in Sukan by

Ronaldo menjaringkan gol pendahuluan Portugal ketika berdepan Ghana dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium 974, Doha. -Foto: EPA

PORTUGAL menyingkap kempen Piala Dunia Qatar 2022 langkah kanan apabila mengatasi Ghana 3-2 dalam perlawanan Kumpulan H di Stadium 974, Ras Abu Aboud, Doha pada Jumaat.

Anak buah Fernando Santos yang merupakan pasukan pilihan dalam perlawanan ini bagaimanapun terpaksa berhempas pulas untuk merobek gawang skuad kendalian Otto Addo tersebut.

Portugal yang menguasai majoriti bola, menyaksikan Cristiano Ronaldo mensia-siakan beberapa peluang terutamanya gol pada minit ke-31, namun dibatalkan kerana pemain berusia 37 tahun itu terlebih dahulu dikesan mengasari pertahanan Ghana, Alexander Djiku.

Untuk rekod, satu-satunya pertemuan Portugal dan Ghana sebelum ini ialah di peringkat kumpulan Piala Dunia Brazil 2014.

Pada perlawanan itu, Portugal menang 2-1, dengan gol dijelmakan Ronaldo di Estádio Nacional Mane Garrincha, Brasilia pada 26 Jun 2014 lalu.

Bersambung babak kedua, Ronaldo meletakkan pasukannya di depan apabila menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-65′, sekali gus menjadikannya pemain pertama sejarah menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia yang berbeza.

Bagaimanapun Ghana tidak goyang sebaliknya kembali menyamakan kedudukan menerusi Andre Ayew yang menyudahkan sentuhan

Mohammed Kudus pada minit ke-73.

Kedudukan kembali berubah apabila Portugal menambah jaringan menerusi Joao Felix pada minit ke-78, bagi menghidupkan kembali saingan.

Rafael Leao juga tidak menunggu lama untuk melebarkan kedudukan Portugal apabila meledak gol ketiga pasukannya selepas menyudahkan lorongan Ronaldo pada minit ke-80.

Namun Ghana yang tidak berputus asa menggandakan asakan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi tandukan Osman Bukari pada minit ke-89.