Ringgit kekal tinggi dalam tempoh dua bulan

in Bisnes by

Gambar hiasan

RINGGIT kekal kukuh dan naik ke paras tertinggi dalam tempoh dua bulan berbanding dolar AS berikutan keyakinan berterusan bahawa AS akan mengurangkan kenaikan kadar faedah pada masa hadapan dan peralihan kerajaan yang berjalan lancar di Malaysia.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan terus mengukuh kepada 4.4795/4890 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4910/5000 pada Khamis.

Inflasi di AS pada Oktober susut kepada 7.7 peratus daripada 8.2 peratus pada September, mencetuskan harapan untuk menyaksikan kenaikan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Disember.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka mengurangkan kadar kenaikan 75 mata asas kepada 50 mata asas pada Disember sejajar dengan unjuran sebelum ini.

Peniaga juga boleh menerima data ekonomi AS yang lain seperti jualan rumah baharu, yang melonjak 7.5 peratus pada Oktober selepas menyusut 11 peratus pada September. Selain itu, tuntutan kali pertama untuk faedah pengangguran meningkat lebih daripada yang dijangkakan pada minggu berakhir 19 November.

Di Malaysia pula, Innes berkata, pasaran mendapati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh yang mesra pasaran.

Pasaran saham Malaysia dan ringgit (kadar) yang lebih menarik juga banyak bergantung pada jangkaan pembukaan semula China.

“Kebimbangan yang semakin berkurangan mengenai sekatan baharu (di China) akan meningkatkan semula semua aset Malaysia. Jadi, ia akan menguntungkan ringgit tahun depan … jelas sekali kita telah mencapai kemuncak tindakan yang tegas oleh Fed (mengenai kadar faedah), yang mana baik untuk mata wang Asia,’’ katanya kepada Bernama.

Innes berkata, kerana ringgit didorong oleh aliran perdagangan dan pelaburan, perlu ada peningkatan aliran masuk antarabangsa, yang akan menjadi sangat positif untuk mata wang tempatan.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2573/2645 daripada 3.2678/2749 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding euro kepada 4.6551/6650 daripada 4.6792/6886.

Ia juga naik berbanding pound British kepada 5.4094/4209 daripada 5.4305/4414 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2118/2188 daripada 3.2412/2479. – Bernama