'Tiada keretakan, hanya luahan hati' – Bung Moktar

in Politik by

Bung Moktar ketika ditanya pemberita selepas menghadiri Sidang DUN Sabah di sini, pada Jumaat.

KOTA KINABALU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan ada berlaku keretakan kerjasama antara BN dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Timbalan Ketua Menteri itu sebaliknya berkata, kerjasama kerajaan negeri antara BN dan GRS berjalan dengan baik.

Berjalan dengan baik (kerjasama BN-GRS). Politik memang begitu, kadang-kadang melemparkan sesuatu,” katanya ketika ditanya pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, pada Jumaat.

Ditanya mengenai dakwaan isytihar perang daripada GRS, beliau berkata, keadaan ketika ini aman.

“Insya-ALLAH, kalau rakyat mahu aman kita aman. Kalau wartawan mahu perang kita perang.

“Setakat ini kita tiada keretakan, yang ada itu kita punya luahan hati. Emosi sikit (ketika itu),” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kebijaksanaan pemimpin amat diperlukan untuk menangani keadaan politik semasa.

“Sebab politik ini bukan emosi. Politik ni adalah satu instrumen untuk memastikan bahawa kita mendapat kuasa dan kuasa itu kita gunapakai untuk membangun negeri Sabah,” jelasnya.