Wakil rakyat perlu tunjuk teladan baik, jauhi rasuah

in Edisi Utara by

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail (kanan) berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada ADUN Titi Tinggi, Izizam Ibrahim sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Istana pada Jumaat. -Foto: Bernama
ARAU – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihatkan kesemua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan wakil rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menunjukkan teladan baik kepada rakyat seperti menjauhi rasuah.

Baginda bertitah, semua Exco dan wakil rakyat perlu menjaga nama baik kerajaan negeri dan Perlis.

“Orang (rakyat) akan memerhati 24 jam, jadi setiap masa mestilah menunjukkan teladan yang baik. Dihormati masyarakat dan buatlah yang terbaik untuk rakyat.

“Jauhilah perkara-perkara yang dikeji masyarakat seperti rasuah. Apa yang rakyat tidak suka, jangan buat,” titah baginda pada Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Exco Perlis di Istana Arau, di sini pada Jumaat.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Sebelum itu, enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terdiri daripada empat wakil rakyat Pas dan dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.

Titah Baginda, semua wakil rakyat yang dipilih rakyat perlu melupakan perbezaan politik dan menumpukan kepada pembangunan negeri bagi menghadapi keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Tumpukan masa dan tenaga untuk pembangunan dan ekonomi negeri kita. Kalau kita tidak buat demikian, mungkin ekonomi akan merosot dan kita akan jatuh lagi ke bawah. Kita mest mengambil tindakan segera dan sebaik-baiknya kita boleh pulih agar setaraf dengan negeri lain,” titah baginda.

Baginda turut meminta agar kerajaan baharu meneruskan projek pembangunan mega yang sudah dimulakan kerajaan terdahulu demi kebajikan rakyat Perlis.

“Kerajaan baharu bernasib baik kerana kerajaan yang lepas telah menjalankan beberapa projek mega seperti Pelaburan Darat Perlis (PIP), Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Jeti Bersepadu Sanglang, dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Keempat-empat projek ‘raksasa’ ini akan beri peluang pekerjaan kepada rakyat, pendapatan kepada kerajaan dan banyak lagi tempias yang rakyat boleh nikmati,” titah baginda.