Amanah 'bedah siasat' punca hilang banyak kerusi

in Politik by

Mohd Hatta (dua dari kiri) bersalaman dengan petugas parti yang hadir pada majlis bersama petugas PRU15 DUN Sungai Rapat di Ipoh.Mohd Hatta bersama pimpinan dan jentera Parlimen Gopeng yang hadir pada majlis bersama petugas PRU15 DUN Sungai Rapat di Ipoh.

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengadakan bedah siasat (post-mortem) berhubung prestasi parti itu yang gagal mempertahankan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ia bagi mengenal pasti sebarang kelemahan pada pilihan raya lalu agar dapat diperbaiki lagi.

Menurutnya, kehilangan kerusi di beberapa kawasan yang dianggap kubu kuat tidak boleh diambil mudah termasuk Parlimen Lumut yang ditandinginya.

“Kita akan menjalankan post-mortem untuk melihat punca-punca atau masalah yang dihadapi semasa pilihan raya. Post-mortem akan dibuat segera selepas selesai bentuk kerajaan.

“Dalam suasana kekalahan kami mesti ada faktor perlu dikenal pasti antaranya calon, jentera, strategi atau sumber. Berdasarkan itu baru kita boleh kembali bertanding terutama pilihan raya di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Selangor dan tiga negeri Pas.

“Kita perlu segera lakukan kerana ada negeri nekad dibubarkan awal kerana ‘mood’ (pilihan raya) tengah ada, itu tidak dinafikan yang mana kita perlu cepat bersedia ke arah itu,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama petugas PRU15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di sini pada Sabtu.

**media[2001291]**

Hadir sama, ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Dr Mohammad Nizar Jamaluddin; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Mohd Hatta berkata, Amanah meletakkan calon untuk bertanding di 54 kerusi Parlimen di seluruh negara namun, hanya lapan kerusi yang berjaya dipertahankan.

“Kita memang bekerja keras kerana tumpuan lebih kepada BN termasuk kawasan saya di Lumut tetapi Perikatan Nasional (PN) lebih menonjol kali ini.

“Itu sedikit luar jangkaan namun sebagai pengajaran politiknya, kita perlu peka dan memasang telinga di akar umbi untuk melihat sejauh mana kekuatan dan kelemahan kita,” katanya.

Pada PRU15 lalu, Mohd Hatta bersama Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Datuk Mahfuz Omar; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Pilihan Raya, Datuk Asmuni Awi tewas dengan pesaing masing-masing.