Banjir di Perak makin pulih

in Edisi Perak by

Anggota APM melipat khemah selepas penduduk terjejas dibenarkan pulang. – Foto ihsan APMPasukan APM membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas banjir. – Foto ihsan APM

IPOH – Jumlah mangsa banjir terus berkurangan kepada 275 orang setakat jam 8 pagi, Sabtu berbanding 303 mangsa yang dilaporkan pada Jumaat.

Semua mereka daripada 80 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak, Manjung serta Larut Matang dan Selama (LMS).

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah memaklumkan daerah Manjung menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 182 orang di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai.

Di Hilir Perak, PPS Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Batu 4, Teluk Intan masih aktif sejak dibuka 13 November lalu.

**media[2000617]**

“Seramai 50 penduduk dari Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9 yang terjejas ditempatkan di sekolah berkenaan.

“PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak pula menempatkan 26 mangsa melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Batu 7, Batu 8, Batu 9, Batu 10 dan Kampung Glouster,” katanya.

Di LMS, PPS SAR Shafie, Batu Hampar menempatkan 17 daripada enam keluarga. Mereka merupakan penduduk terjejas dari Kampung Padang Serai Dalam dan Padang Serai Luar.

Sementara itu, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan tiada amaran ribut petir atau hujan lebat di semua daerah setakat ini.