Exco jamin kerajaan Perak kekal stabil, pertahan Saarani

in Edisi Perak by

Dari kiri; Sivanesan, Mohd Azlan dan Sandrea Ng.

IPOH – Exco kerajaan Perak memberi jaminan bahawa kerajaan perpaduan di antara Pakatan Harapan (PH) dan BN akan kekal stabil sehingga habis penggal.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A Sivanesan mengakui Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan memberi perhatian kepada semua pihak tanpa mengira penyokong kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai dari DAP berkata, perkara itu dibuktikan sebelum ini ketika PH menjadi pembangkang apabila peruntukan tetap diberikan untuk kepentingan rakyat.

“Hanya menteri besar yang sanggup mendengar penderitaan rakyat dia yang boleh bekerja dan saya sungguh percaya sebelum ini pun kita jadi pembangkang, Datuk Seri Saarani menjadi MB apabila kita hendak bantuan, kita jumpa dan dapat (bantuan). Saya dalam 24 jam dapat RM50,000 untuk menaik taraf jalan di sekeliling masjid jamek Sungkai, saya dapat RM50,000 untuk menaik taraf tanah perkuburan Hindu di Sungkai.

“Ini peruntukan menteri besar, sedangkan dia boleh cakap kamu ini pembangkang saya tak boleh bagi, tapi dia bagi. Dia layan (semua pihak). Jadi inilah pemimpin yang kita nak. Isu DAP dengan UMNO itu sebenarnya tak wujud. Jadi tidak akan kacau pentadbiran negeri. ini adalah peluang untuk warga Perak dan Malaysia melihat pentadbiran Perak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Khamis.

Bagi Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO, Mohd Azlan Helmi Helmi pula, kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menyatakan komitmen mengenepikan segala kepentingan politik masing-masing demi memajukan negeri.

Jelasnya, setelah tamat pilihan raya dan kerajaan dibentuk, tumpuan harus diberikan terhadap usaha meningkatkan ekonomi negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

“Negeri perlu dimajukan, jadi pada saya seperti mana mesyuarat dengan menteri besar, kita ketepi soal politik dan tumpu kepada kerjasama. Saya dah tak fikir dia daripada parti mana.

“Saya akan bekerjasama dengan siapa sahaja demi menjalankan tugas demi rakyat. Kita perlu dimensi baharu. Kena bersangka baik sesama kami,” katanya yang merupakan ADUN Tualang Sekah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, biarpun pembentukan kerajaan negeri Perak melibatkan satu gabungan baharu, kesemua exco kerajaan negeri sudah menyatakan komitmen mengenepikan perbezaan masing-masing.

Menurutnya, fokus utama diberikan kepada penyelesaian terhadap isu-isu rakyat dan perkembangan ekonomi untuk negeri Perak.

“Jadi saya rasa persetujuan bersama ini, kami akan cuba sebaik mungkin untuk utamakan apa agenda yang baik untuk pembangunan negeri dan saya lihat line up sekarang satu kombinasi yang lebih pelbagai dari segi umur, jantina dan masyarakat masing-masing.

“Dengan persefahaman yang ada, kita akan tekad untuk menunjukkan prestasi dan ini menjadi agenda utama,” katanya yang merupakan ADUN Teja dari PKR.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri juga mengambil maklum tentang keadaan terkini apabila terdapat percubaan untuk memainkan sentimen perkauman di sebalik pembentukan kerajaan perpaduan di antara PH dan BN.

Jelas Sandrea Ng, Exco kerajaan negeri akan menunjukkan prestasi mereka supaya rakyat yakin dengan kerajaan baharu dan seterusnya memastikan keharmonian kaum terus dipelihara.