Hubungan Persekutuan, Sarawak diperkukuhkan: PM

in Nasional by

Anwar menerima kunjungan Abang Johari di kediamannya pada Sabtu. – Foto Twitter Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh di bawah kerajaan perpaduan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan Premier Sarawak, yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama rombongan di rumahnya, pagi ini.

“Gabungan Parti Sarawak atau GPS menjadi antara tunggak selain Barisan Nasional, Parti Warisan dan juga GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang membentuk kerajaan perpaduan yang dikemudi saya.

“Insya-Allah, hubungan antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak pastinya lebih akrab dan diperkukuh dalam rencana melakar sebuah Malaysia yang lebih baik dan berketerampilan,” katanya yang turut berkongsi beberapa foto kunjungan itu.

GPS yang merupakan gabungan empat parti terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi 23 daripada keseluruhan 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),19 November lalu.

Anwar dalam sidang media pada hari pertamanya memasuki Pejabat Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya, semalam berkata kerajaan perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua pertiga melalui penyertaan terkini oleh GRS. – Bernama

Pagi ini saya menerima kunjungan dari Premier Sarawak Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg bersama rombongan di rumah. (1/3)#DemiPertiwi pic.twitter.com/KVRkDMNEQ9

— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) November 26, 2022