JDT juara Piala Malaysia 2022

in Sukan by

Antara aksi perlawanan JDT menentang Selangor di Stadium Nasional Bukt Jalil pada perlawanan akhir Piala Malaysia. Foto: Sinar Harian/ Rafeq Redzuan

[DIKEMAS KINI] JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memahat sejarah apabila muncul pasukan pertama Liga Malaysia (Liga-M) merangkul gelaran quadruple selepas menewaskan juara 33 kali Selangor FC, 2-1 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Harimau Selatan sebelum ini merangkul trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), Piala FA dan Piala Liga Super di dalam senarai kabinet kejuaraan musim 2022.

Tampil dengan status pilihan dan finalis musim lalu, JDT kendalian Hector Bidoglio membariskan terbaik trio serangan Bergson Da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Forestieri sebagai senjata di bahagian serangan bagi merobek gawang The Red Giants.

Sementara itu, pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe turut merangka percaturan ampuh dengan meletakkan Heien Htet Aung dan Herlison Caion sebagai penyerang untuk menggempur pertahanan Harimau Selatan.

Selangor bermula garang pada awal permainan apabila hampir membolosi gawang JDT menerusi Mukhairi Ajmal namun rembatan pemain itu sekadar melepasi gawang gol lawan.

The Red Giants sekali lagi hadir mengancam kubu Harimau Selatan pada minit ke-10 namun rembatan Caion sedikit tersasar.

JDT mendapat peluang keemasan untuk memimpin perlawanan pada minit ke-34 namun rembatan Leandro Velazquez dihalang pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar.

Gol yang dinanti-nantikan Selangor akhirnya hadir pada minit ke-45 apabila Caion menyempurnakan sepakan penalti selepas Matthew Davies menjatuhkan pemain Brazil itu dalam kotak penalti.

Bagaimanakan kedudukan itu tidak kekal apabila Bergson berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-47′.

Memasuki babak kedua, JDT menukar taktikal permainan apabila lebih menyerang berbanding pada separuh masa pertama.

Selepas berkali-kali melakukan asakan, akhir JDT memecah kebuntuan menerusi Forestieri yang pantas menyambut bola muntah didepannya sebelum melakukan curling shot menewaskan

Khairulazhan Khalid pada minit ke-58.

Tersentak dengan gol itu Selangor kembali memperkemaskan corak permainan bagi memperoleh jaringan penyamaan, namun tiada sebarang gol dihasilkan sehingga wisel penamat permainan.

Untuk rekod, ini merupakan Piala Malaysia ketiga buat pasukan dari selatan itu selepas diswastakan pada 2013.