Kabinet kerajaan perpaduan perlu holistik, capai kesepakatan

in Nasional by

Syed AgilDari kiri: Hazwan, Nik Nazmi dan Syed Agil Alsagoff ketika Program Sinar Live bertajuk ‘Kabinet bayangan Anwar Ibrahim’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu. – FOTO SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM – Kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih holistik dan mencerminkan kesepakatan politik dalam sistem pentadbiran.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan, cabaran membina barisan kabinet kelak perlu adil dan saksama sekali gus mendapat kesepakatan antara parti politik terlibat agar matlamat membina semula negara dapat direalisasikan.

“Lantikan Anwar untuk menerajui kerajaan perpaduan, taksirannya perlu mengikut acuan Malaysia dan jangan disamaertikan dengan kerajaan perpaduan di luar negara. Ia berbeza kerana di Malaysia, ia diwujudkan untuk mengukuhkan kerajaan (dengan) mengambil kira kerjasama antara semua parti.

“Mereka akan mendirikan satu kabinet dengan struktur pentadbiran yang lebih komprehensif, holistik dan terbuka. Ini adalah bagi menyempurnakan hasrat dan harapan rakyat untuk membina sebuah negara,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk ‘Kabinet bayangan Anwar Ibrahim’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Sabtu.

Turut diundang menjadi panelis adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad manakala Hazwan Mokhtar bertindak sebagai moderator.

**media[2001389]**

Dalam pada itu Syed Agil berkata, saiz kabinet yang akan dibentuk oleh kerajaan perpaduan kelak tidak menjadi isu atau perlu diperbesarkan kerana secara keseluruhannya, ia perlu melihat kepada matlamat pembentukkannya.

“Saya nampak banyak transformasi pentadbiran akan dapat dilihat, walaupun saiz kabinet kecil, itu semua perkara fizikal. Lebih penting adalah matlamat untuk menyempurnakan harapan rakyat menghadapi masalah kos sara hidup dan sebagainya.

“Kalau diperhatikan dalam ucapan pertama Anwar baru-baru ini, beliau menyebut tentang kos sara hidup, untuk memastikan ia dapat diperbaiki, begitu juga dengan harga barang dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu mengenai portfolio Menteri Kewangan, Syed Ali berpandangan, masih ramai tokoh atau individu dari parti lain yang dilihat mampu menerajui kementerian utama itu dan seharusnya tidak dibebankan kepada Anwar sahaja.

“Pandangan saya, Anwar adalah tokoh dan bekas Menteri Kewangan yang dihormati tetapi pada kali ini ‘task’ beliau sangat besar kerana mengetuai kerajaan perpaduan, sudah pasti sedang menumpukan banyak isu sosial, ekonomi yang ditanggung oleh rakyat.

“Saya fikir ada ‘talent’ dalam kalangan anggota Parlimen yang boleh mengetuai Kementerian Kewangan berdasarkan kemahiran, pendidikan dan pengalaman menguruskan kewangan negeri.

“Dalam semua parti ada orang yang tertentu yang boleh dinaikkkan atau dipilih sebagai Menteri Kewangan,” ujarnya.