Kelantan harap hubungan dengan kerajaan Persekutuan baik

in Edisi Kelantan by

Ahmad (kanan) menyampaikan anugerah keluarga bestari kepada pemenang pada Majlis Perasmian Penutup Hari Iqra dan Pesta Buku Darul Naim 2022 di Tunjong, Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan berharap hubungan dengan kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan baik mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, semangat ‘federalisme’ dapat dibentuk walaupun berlainan pentadbiran antara negeri dengan persekutuan.

“Melalui tanggungjawab bersama antara negeri dan pusat saya yakin ia akan berjalan sebagaimana biasa dan itu harapan kita,” katanya selepas ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Penutup Hari Iqra dan Pesta Buku Darul Naim 2022 di Tunjong, pada Sabtu.

Pada PRU15 lalu, Pakatan Harapan (PH) yang menang 76 kerusi mengambil alih pentadbiran negara apabila membentuk gabungan bersama BN, Gabungan Rakyat Sarawak (GRS), Gabungan Parti Sabah (GPS), Warisan dan bebas.

Gabungan yang dibentuk menerusi kerajaan perpaduan itu membolehkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu memberitahu, kerajaan negeri berharap projek pembangunan diteruskan sebagaimana yang telah dimuktamadkan sebelum ini.

Ujar beliau, mana-mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran ia akan mengemudi seluruh pengurusan termasuklah meneruskan perancangan telah dibuat.