Kerajaan perpaduan perlu beri Kelantan royalti minyak

in Politik by

Gambar kenangan Nazri (dua dari kanan) bersama Anwar (dua dari kiri) sebelum ini.

KOTA BHARU – Pertubuhan Royalti Kelantan (R) berharap kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menafikan hak bayaran royalti minyak kepada negeri ini.

Presidennya, Nazri Deraman berkata, Kelantan mempunyai hak ke atas bayaran itu sebagaimana yang termaktub menerusi Perjanjian Royalti 1975 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

“Besar harapan seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik supaya bayaran (royalti) itu tidak lagi dilupakan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Nazri berharap Anwar dapat menggalas tanggungjawab besar sebagai Perdana Menteri untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, seluruh rakyat mengimpikan sebuah negara yang maju, bebas rasuah dan makmur di bawah kepimpinan Anwar.

Pada 22 Oktober lalu Sinar Harian melaporkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Kelantan akan mendapat royalti minyak jika gabungan itu diberi mandat untuk mentadbir Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Muhyiddin berkata, bayaran sebanyak lima peratus itu akan diberikan kepada Kelantan seperti yang terkandung dalam perjanjian asal berkait dengan bayaran royalti.