Projek perumahan dikesan curi air

in Edisi by

Difahamkan bekalan air ini digunakan untuk operasi pembinaan dan aktiviti harian pekerja.Anggota penguat kuasa terlibat dalam serbuan membuat pemeriksaan di tapak projek pembinaan rumah yang disyaki mencuri air daripada Air Selangor.

SHAH ALAM – Sebuah tapak pembinaan rumah teres setingkat di Bukit Changgang, Banting, Selangor diserbu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selepas didapati mencuri bekalan air milik Air Selangor.

SPAN menerusi satu kenyataan memaklumkan serbuan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan SPAN dengan bantuan Air Selangor pada Jumaat dan hasil pemeriksaan mendapati, terdapat penyambungan bekalan air secara tidak sah dan menyalahi undang-undang.

“Difahamkan bekalan air ini digunakan untuk operasi pembinaan dan aktiviti harian pekerja. SPAN telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air yang tidak sah tersebut telah dilakukan,” kata kenyataan itu.

**media[2001344]**

Kenyataan sama turut memaklumkan, operasi penguatkuasaan itu adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang disyaki membuat sambungan bekalan air menyalahi undang-undang.

“Kes ini disiasat mengikut peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Dalam pada itu, orang ramai juga diminta memaklumkan kepada operator air sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih termasuk membuat penyambungan bekalan air secara tidak sah.