Sokongan kepada Anwar semakin kukuh

in Nasional by

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra. – Foto Bernama

SELEPAS mengangkat sumpah pada Khamis, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya memulakan tugasan hari pertama sebagai Perdana Menteri pada Jumaat.

Beliau memulakan tugasan dengan mempengerusikan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali Dan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan di Perdana Putra, Putrajaya.

Sejurus selepas itu, Ahli Parlimen Tambun itu tampil mengadakan sidang media bagi memberikan perkembangan terkini berkenaan isu pentadbiran.

Pada sesi tersebut, Anwar memaklumkan sokongan terhadap kerajaan di bawah pentadbirannya telah bertambah selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi bersetuju untuk menyertai kepimpinan.

Katanya, selain tiga parti induk iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), turut menyokong kerajaan membabitkan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Warisan (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Dalam pada itu, dua ahli Parlimen daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan iaitu Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda dan Parlimen Tenom, Riduan Rubin.

Perkembangan itu menyaksikan sokongan kepada Anwar telah meningkat daripada 135 kepada sekurang-kurangnya 147 ahli Parlimen iaitu hanya kurang satu kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga di Parlimen.

Dalam pada itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menegaskan gabungan itu akan memainkan peranan sebagai pembangkang untuk melaksanakan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

Katanya, PN juga bersedia merintis bagi membentuk kerjasama lain dengan kerajaan pimpinan Anwar demi memastikan kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat terjamin.

Pada masa sama, Muhyiddin dalam kenyataan sebelumnya turut merakamkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikan sebagai Perdana Menteri.

Turut sama melahirkan ucapan tahniah kepada Anwar pada Jumaat ialah pimpinan politik utama lain antaranya Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kesihatan, Khair Jamaluddin Abu Bakar.