Tok Mat individu layak pegang jawatan TPM

in Politik by

Muhamad MuqharabbinMohamad Hasan

SHAH ALAM – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat antara individu yang layak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ini kerana Ahli Parlimen Rembau itu dilihat mempunyai kredibiliti memandangkan beliau diterima baik oleh rakyat dan juga dalam parti.

Menurutnya, pengalaman Mohamad sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan merupakan satu kredit buatnya berbanding ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang lain.

“Saya yakin rakyat dapat menerima Tok Mat dan beliau dapat bersama membantu (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin kerajaan perpaduan dalam menangani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Cabaran politik kini amat berbeza dan dinamika yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini cukup luar biasa. Jadi gandingan yang baik dan mantap ini pasti dapat mengekalkan kestabilan politik negara untuk beberapa tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Anwar dalam satu sidang media menyatakan bahawa jawatan Timbalan Perdana Menteri dijangka diberikan kepada blok terkuat lain dalam kerajaan perpaduan iaitu BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jelasnya, ia merupakan amalan biasa dalam setiap kerajaan.

**media[2000647]**

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin berharap Anwar dapat mengangkat ramai pemimpin muda dalam mengemudi negara agar setiap lapisan rakyat tidak ketinggalan.

“Antara pemimpin yang perlu diberikan ruang bersama kerajaan perpaduan Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH) ialah Ahli Parlimen PH Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Khairy Jamaluddin, Nurul Izzah dan juga Shahril Hamdan selain beberapa pemimpin muda lainnya.

“Saya hanya mengharapkan kerajaan perpaduan ini dapat membawa perubahan kepada negara ke arah kemajuan yang mampan dan mengembalikan keyakinan pelabur kepada Malaysia,” ulasnya.

Beliau juga berharap, menerusi pimpinan kerajaan kali ini dapat mewujudkan keharmonian dalam setiap kaum yang terdapat dalam pelbagai parti.

Tambahnya, kenyataan berunsur perkauman hendaklah dijauhkan bagi mengelakkan sentimen itu meletus.