Amitabh Bachchan larang guna nama, gambar dan suara

in Global by

Amitabh Bachchan. – Agensi

NEW DELHI – Bintang Bollywood, Amitabh Bachchan memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Delhi untuk melarang individu atau syarikat menggunakan nama, gambar, suara dan personaliti keperibadiannya tanpa kebenaran, lapor agensi berita Sputnix.

Bachchan yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia, terpaksa menggunakan tindakan undang-undang selepas beberapa insiden penipuan atas talian dan loteri di mana gambar dan suaranya disalah gunakan.

Hakim Navin Chawla pada Jumaat lalu meluluskan perintah sementara bagi menghalang orang ramai melanggar hak personaliti dan publisiti Bachchan.

Mahkamah menyatakan orang ramai dan entiti telah menggunakan status pelakon itu tanpa kebenarannya untuk mempromosikan perniagaan mereka.

Bachchan diwakili peguam Harish Salve, juga memohon perintah sekatan terhadap penerbit buku, penjual t-shirt dan perniagaan lain.

“Plainitif berkemungkinan mengalami kerugian dan kemudaratan. Beberapa aktiviti telah mencemar nama baiknya.

“Memandangkan perkara di atas, perintah sementara telah diluluskan,” kata Hakim Chawla. – Agensi