ATM kuasai hari terakhir ATC 2022

in Sukan by

Timotius mengungguli kategori OD lelaki dalam saingan ATC 2022 di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak pada Ahad. – Foto Agensi

ATLET Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Timotius Ahimo muncul juara kategori Olympic Distance (OD) lelaki pada Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang berlangsung di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak pada Ahad.

Selepas mengharungi tiga disiplin sukan iaitu renang sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal (40km) dan larian (10km), Timotius yang telah berkhidmat dengan ATM selama tujuh tahun merakamkan catatan masa keseluruhan 2 jam 10 minit 27 saat (s).

Tempat kedua dan ketiga bagi kategori OD lelaki yang melibatkan usia 20 hingga 30 tahun itu masing-masing dimenangi dua lagi wakil ATM – Mohd Azmir Abdullah Sani (2:12:35s) dan Nazrol Hakim Che Saruji (2:12:55s).

“Saya tidak berdepan sebarang tekanan berlumba hari ini kerana wakil daripada ATM pun ramai bertanding dalam kategori ini. Jadi kami semua hanya enjoy ketika mengharungi perlumbaan dan sebolehnya cuba mendapatkan masa terbaik masing-masing.

“Ikutkan, sebenarnya saya juga tidak meletakkan sebarang sasaran khusus, tetapi tak sangka dapat muncul pemenang pertama. Saya berpuas hati dengan catatan masa hari ini walaupun saya percaya masih boleh buat yang lebih baik.

“Mungkin hari ini rezeki saya untuk muncul juara dan sudah tentu saya amat gembira dengan kemenangan ini. Tahniah juga kepada rakan-rakan ATM yang berjaya menamatkan perlumbaan dan mencatat masa yang baik,” ujar Timotius.

Bagi kategori OD lelaki (31 hingga 49 tahun), gelaran juara juga milik wakil ATM, Abdul Rahman Abu Hassan dengan catatan 2:10:50s diikuti rakannya, Muhammad Syamsul Erry (2:13:23s) dan atlet Sepanyol, Jose Luis Larrosa (2:14:07s).

Dalam kategori OD lelaki (50 tahun ke atas), tempat pertama dimenangi Matthew Deegan yang merekodkan catatan masa 2:34:26s diikuti Ooi Kok Keong (2:37:03s) dan Cheah Soon Hock (2:50:09s).

Bagi kategori Sprint Distance (SD) lelaki junior (16 hingga 19 tahun), dua wakil Hong Kong – Chan Ho Kwan dan Tsang Wai Chun masing-masing berada di tempat pertama dan kedua, manakala Wan Chak Lam menduduki tangga ketiga.

Kategori SD lelaki (20 hingga 30 tahun) pula dimenangi Muhammad Khairil Azhar, manakala William Chang Tzen Foong dan Mohamad Nazri Afendy Tujoh masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Dalam kategori SD lelaki (31 hingga 49 tahun), podium utama menjadi milik Allan Wongski, tempat kedua dimenangi Mohd Shahrin Hasan Sezali, manakala Khor Ah Ba menamatkan saingan di tangga ketiga.

Bagi kategori SD wanita junior (16 hingga 19 tahun), Koh Pao Yee muncul juara diikuti Janel Susastra dan Mah Yan Xhi, manakala SD wanita 20 hingga 30 tahun dimenangi Jacqueline Ng dan Lew Sin Yee masing-masing di tempat pertama dan kedua.

Bagi saingan SD lelaki dan wanita, para peserta mengharungi cabaran renang sejauh 750 meter (m), berbasikal 20km dan larian 5km – iaitu kurang separuh jarak berbanding kategori OD bagi setiap disiplin.

Seramai 327 peserta mengambil bahagian dalam kedua-dua kategori – OD dan SD melibatkan pelbagai peringkat umur pada hari terakhir ATC 2022 yang membuka tirainya secara rasmi Jumaat lalu.

Pada Sabtu, berlangsung dua kategori utama – elit lelaki dan wanita pada kejohanan triatlon berprestij di rantau Asia itu.

Sebagai rekod, ATC yang dianggap kejohanan triatlon paling berprestij di rantau Asia kembali diadakan di negara ini selepas kali terakhir berlangsung di Sabah sekitar tahun 1980-an.

Sebagai tuan rumah peringkat terakhir ATC 2022, Perak dipilih sebagai lokasi penganjuran yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Triatlon Malaysia dan Persatuan Triatlon Perak dengan kerjasama Stagemaker Sdn Bhd.

Sebanyak enam kategori utama dipertandingkan pada ATC kali ini iaitu membabitkan lelaki dan wanita elit peringkat umur 23 tahun ke atas; peringkat umur 19 hingga 23 tahun dan peringkat umur 16 hingga 19 tahun.

Setiap peserta akan mengharungi tiga disiplin atau cabaran sukan berbeza bermula renang sejauh 750 meter (m) diikuti berbasikal dengan jarak meliputi 20 kilometer (km) sebelum saingan berakhir dengan larian sejauh 5km.

Lebih menarik, sebanyak hampir 90 peserta dari 25 buah negara termasuk Malaysia telah mengambil bahagian bagi kategori lelaki dan wanita elit.

Selain wakil dari Asia iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong serta beberapa peserta dari negara jiran Asia Tenggara, penganjuran ATC di Perak kali ini turut berjaya menarik penyertaan wakil Eropah.

Antaranya termasuklah Jerman, Kanada, Sepanyol, Romania, Switzerland, Slovakia dan Luxembourg selain Palestin, Guam, Afrika Selatan dan India.