Belum ada perbincangan bentuk kabinet: Mat Sabu

in Politik by

Mohamad ketika berucap pada majlis meraikan petugas PH pada PRU15 di Klang pada Sabtu.

KLANG – Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) belum mengadakan sebarang perbincangan bagi pembentukkan kerajaan serta pemilihan barisan menteri kabinet.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, setakat ini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Perdana Menteri tidak memanggil ahli parti gabungan untuk membincangkan perkara itu.

“(Perbincangan) bentuk kerajaan, kita (PH) belum bincang, tetapi kita akan tubuh kerajaan secepat mungkin.

“Untuk jawatan menteri dan sebagainya, terserah kepada Perdana Menteri. Saya tidak tahu (sama ada) akan tersenarai (menteri kabinet) atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas majlis meraikan petugas PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Kota Raja pada Sabtu.

Sebagai rekod, Mohamad pernah menyandang portfolio Menteri Pertahanan selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Pada PRU15, beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja dengan majoriti 73,998 undi menewaskan pencabar terdekat dari Perikatan Nasional (PN), Mohamed Diah Baharun yang memperoleh 49,308 undi.

Sementara itu Mohamad turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi PH di Parlimen Kota Raja yang telah menjalankan tugas dengan baik sehingga memperoleh kemenangan.

“Boleh lihat malam ini melibatkan semua kaum walaupun ada percubaan memainkan isu perkauman, kawasan Kota Raja kekal dengan perpaduan antara kaum.

“Inilah punca kemenangan kerana mereka bekerja secara sukarela, mereka tahu apa yang saya lakukan walaupun tiada dalam kawasan kerana berkempen di tempat lain, semua jentera kita faham,” ujarnya.