Gelombang protes 'anti-lockdown' landa China

in Global by

Upacara memperingati mangsa terkorban dalam kebakaran di Urumqi yang dihadiri penduduk Shanghai bertukar menjadi protes membantah sekatan ketat dilaksanakan pemerintah. – Foto Agensi

BEIJING – Gelombang protes ‘anti-lockdown’ merebak ke Shanghai pada awal pagi Ahad selepas penduduk di beberapa bandar menyuarakan kemarahan terhadap insiden kebakaran yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa yang didakwa berpunca daripada sekatan ketat Covid-19.

Insiden tunjuk perasaan itu tercetus selepas kebanyakan pengguna media sosial mendakwa mangsa kebakaran di sebuah apartmen Urumqi, wilayah Xinjiang tidak dapat menyelamatkan diri kerana sebahagiannya dikunci di bawah perintah berkurung (lockdown).

Pada mulanya, sejumlah penduduk di Shanghai berhimpun di Wulumuqi Road untuk memperingati mangsa yang terkorban di wilayah barat China itu.

“Tarik balik lockdown di Urumqi, tarik balik balik sekatan di Xinjiang, tarik balik lockdown di seluruh China,” laung peserta protes di hab kewangan Beijing tersebut.

Kumpulan itu turut melaungkan slogan mengutuk pemerintah yang merupakan tunjuk perasaan jarang berlaku terhadap kepimpinan Parti Komunis China (CPC).

Difahamkan, langkah perintah berkurung selama dua bulan yang pernah dilaksanakan di Shanghai yang berpopulasi 25 juta penduduk pada awal tahun lalu juga pernah mencetuskan protes.

Bagi meredakan kemarahan penduduk, pihak berkuasa di Xinjiang dilaporkan akur dengan desakan penunjuk perasaan dan melonggarkan sekatan di beberapa kawasan kejiranan di Urumqi setelah pelaksanaan sekatan ketat selama lebih tiga bulan di wilayah itu.

Sehari selepas insiden kebakaran itu, penduduk dilaporkan berarak di jalan utama di Urumqi sambil melaungkan slogan ‘tamatkan segera lockdown!’ dan rakaman video protes secara aman itu turut menjadi tular di media sosial.

Kebanyakan penduduk di ibu kota wilayah yang berpopulasi empat juta penduduk itu tidak betah lagi untuk menghadapi sekatan paling lama malah ada segelintir yang dilarang keluar dari rumah selama 100 hari.

Sementara itu, di Beijing yang terletak sejauh 2,700 kilometer dari Xinjiang, sekumpulan penduduk juga mengadakan demonstrasi bagi membantah sekatan pergerakan yang dilaksanakan di bandar itu.

Ketika ini, pemerintah masih berpegang teguh dengan dasar ‘sifar Covid-19’ walaupun ia melonggarkan beberapa protokol kesihatan seperti memendekkan tempoh kuarantin.

Namun, dasar kontroversi itu terus menerima bantahan sejak beberapa bulan lalu berikutan peraturan ketat yang dikuatkuasakan kerajaan pusat telah menyebabkan tragedi termasuk kematian seorang bayi berusia empat bulan di Zhengzhou, wilayah Henan pada minggu lalu.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia kerana lambat menerima rawatan setelah mengalami muntah-muntah dan cirit-birit ketika menjalani kuarantin di sebuah hotel di bandar tersebut. – Agensi