Isu sampah di Kelantan topik utama Sidang DUN

in Edisi by

Masalah pelupusan sampah antara perkara penting yang menjadi perbincangan dalam Sidang DUN Kelantan pada Ahad. – Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Izani)

KOTA BHARU – Masalah pelupusan sampah antara perkara penting yang menjadi perbincangan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Ahad.

Antara perkara utama yang dibangkitkan ialah masalah tapak pelupusan dan rumah sampah.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti tapak baharu pelupusan sampah dan kaedah memanjangkan jangka hayat kawasan berkenaan.

Menurut beliau, sampah di kawasan terlibat juga dimanfaatkan dengan penghasilan biokompos.

“Masalah pelupusan sampah sudah ada dalam pengetahuan kerajaan negeri selain berusaha memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah terutama di Beris Lalang, Bachok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Saiful Adli Abu Bakar (Salor-Pas) yang mahu mengetahui cadangan kerajaan menyediakan tapak baharu pelupusan sampah yang kebanyakannya sudah hampir penuh dengan menyediakan teknologi terkini pelupusan sampah.

Sementara itu, Datuk Md Alwi Che Ahmad (Kok Lanas-BN) melalui soalan tambahannya bertanyakan mengenai cadangan kerajaan menswastakan pengurusan sampah kerana kerajaan negeri mungkin tiada peruntukan menguruskan masalah sampah.

“Duit tak cukup…rakyat marah, apakah ada cadangan untuk menswastakan pengurusan sampah,” katanya.

Bagaimanapun Dr Izani berkata, pihaknya sudah berbincang dengan syarikat berkaitan dan kerajaan negeri membuka perbincangan kepada syarikat yang mahu bekerjasama.