Kerajaan Kelantan minta tentera bantu tangani pembalak haram

in Edisi by

Persidangan DUN (Belanjawan) ke-3 Penggal Kelima di Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan pernah meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha menangani pencerobohan hutan simpan dan pembalakan haram di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya meminta bantuan ATM untuk melakukan operasi bagi mengawasi mereka yang mengambil peluang menebang hutan secara haram.

“Pernah satu ketika dahulu, kita meminta kerjasama daripada pihak tentera.

“Walaupun mereka tidak bekerja untuk menjaga hutan tetapi kita minta bantuan supaya mereka mengadakan operasi tertentu untuk menakut-nakutkan pihak yang mengambil peluang menebang hutan secara haram,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) (Belanjawan) ke-3 Penggal Kelima di Kota Darul Naim di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan itu berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan (Pas).

Menurutnya, bantuan ATM itu juga diminta untuk melakukan operasi bagi mengelak daripada pemburu haram yang hendak menembak binatang liar dan sebagainya.

“Selain itu, melalui Jawatankuasa Kecil Perhutanan negeri juga sentiasa diadakan perbincangan dengan pihak yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera dan risikan terhadap mana-mana pihak yang menceroboh kawasan hutan simpan,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, negeri Kelantan melalui Jabatan Perhutanan negeri memperoleh Pensijilan MS ISO 9001:2015 pada 6 Julai lalu berdasarkan Sistem Pengurusan Hutan yang mematuhi 15 prosedur kualiti (proses) dan 11 prosedur kualiti (sokongan).

“Kejayaan dalam pensijilan tersebut membuktikan bahawa pengurusan hutan Kelantan mengikut setiap garis panduan (SOP) serta ketetapan yang dibuat oleh badan pensijilan.

“Negeri Kelantan komited memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan dalam pengurusan pengeluaran kayu bulat secara berkekalan bagi hutan darat serta patuh pada Catuan Tebangan Tahunan (CTT),” katanya.

Sebelum ini, Majlis Tanah Negara (MTN) meluluskan 19,500 hektar CTT hutan simpan di Kelantan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tebangan tahunan dari 2021 hingga 2025 adalah 3,900 hektar setahun.