Kerajaan Negeri Sembilan bina Dataran Adat Perpatih

in Edisi by

Aminuddin (lima dari kiri) beramah mesra dengan individu yang terlibat dalam program berkenaan.

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan akan membina Dataran Adat Perpatih tahun hadapan di Muzium Negeri Sembilan di sini bagi memperkasakan warisan sejarah, adat dan budaya di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, dataran bernilai RM1 juta itu juga bakal mengumpulkan ahli sejarah,masyarakat adat dan pencinta wacana adat.

“Selain itu, kita berharap ia juga menjadi ikon utama selain daripada Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Seminar Antarabangsa Nusantara Adat Perpatih di Klana Resort pada Ahad.

Dalam pada itu Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga telah memperkenalkan inisiatif Pemulihan Bangunan dan Rumah Warisan tahun lalu seiring dengan pemerkasaan Adat Perpatih dan untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Antara bangunan dan rumah yang telah dipulihara dibawah inisiatif khas ini ialah Masjid Warisan Kampung Terusan Kuala Pilah dan Masjid Warisan Kuala Serdang Kuala Pilah.

“Manakala rumah yang telah dipulihara ialah Rumah Warisan Puan Norami Kampung Semerbok Rembau, Rumah Warisan Puan Norlida Idris Kuala Pilah dan Rumah Warisan Puan Jalilah Buang di Jelebu.

“Saya difahamkan selepas ini bangunan dan rumah warisan yang akan dipulihara dibawah inisiatif ini ialah Rumah Warisan Dato Klana Hasim di Pantai dan Bangunan Moi Kong Ng Shook Fui Kon di Temiag, Seremban,” katanya.

Jelasnya, melalui pemuliharaan bangunan dan rumah warisan ini, memberi peluang kepada pengkaji untuk menjadikan nya sebagai rujukan dalam penyelidikan yang berkaitan dengan senibina Negeri Sembilan.

Sementara itu, beliau turut menyeru agar luak dan persatuan sejarah menjalinkan kerjasama dalam bidang berkaitan, sebagai usaha untuk memperkayakan lagi, warisan bersejarah yang terdapat di negeri ini.

“Banyak tapak sejarah, tokoh adat, ulama, bangunan termasuk rumah tradisional, cerita rakyat luak, sejarah luak, laluan sejarah dan lain-lain lagi perlu dikaji agar tidak tenggelam pada masa akan datang.

“Ini kerana sesuatu yang amat berharga itu, apabila hilang akan sukar untuk dicari semula dan yang cicir tidak akan dapat dipungut semula,” katanya.