Megat Zulkarnain dilantik Pengerusi UMNO Selangor

in Politik by

Megat Zulkarnain – Foto Bernama

SHAH ALAM – Ketua Bahagian UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dilantik sebagai Pengerusi UMNO Selangor yang baharu.

Beliau menggantikan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar yang meletakkan jawatan itu pada 20 November lalu susulan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain itu, Ketua UMNO Hulu Langat, Datuk Johan Aziz diangkat sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor.

Penstrukturan baharu itu dikongsikan menerusi kemas kini di Facebook UMNO Selangor yang mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut.

Menerusi kemas kini tersebut, UMNO Selangor turut merakamkan penghargaan kepada Noh di atas jasa dan sumbangan sepanjang menerajui kepimpinan UMNO di negeri tersebut.

Pelantikan tersebut turut disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi kemas kini di Facebooknya pada Sabtu.

Menerusi kenyataan tersebut, beliau turut memaklumkan yang Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dilantik sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Untuk makluman disahkan bahawa Mohd Shafie dilantik sebagai ahli MKT dan Megat Zulkarnain menggantikan Noh sebagai Pengerusi UMNO Selangor.

“Datuk Suraya Yaacob pula (dilantik) sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Kedah,” menurut kenyataan itu.

PRU15 menyaksikan BN Selangor gagal menang sebarang kerusi di peringkat Parlimen.

Noh juga tidak dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Tanjong Karang yang disandang selama enam penggal.

Sebaliknya BN mencalonkan Datuk Habibah Mohd Yusof namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Dr Zulkafperi Hanapi yang memperoleh majoriti 2,180 undi.

Sebanyak 22 kerusi Parlimen dipertandingkan di Selangor, 16 kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) manakala enam kerusi milik PN.