Pen Mutiara akan jumpa PM, bincang isu tambak laut

in Edisi Utara by

Kawasan selatan Pulau Pinang merupakan kawasan berteluk yang mana banyak spesis hidupan laut yang akan membiak di kawasan tersebut.

GEORGETOWN – Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan berhubung Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) atau yang kini dikenali sebagai Penang South Islands (PSI).

Pengerusinya, Ibrahim Che Ros berkata, pihaknya akan mengutus surat kepada Anwar pada Selasa ini untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, pihak persatuan berharap agar Anwar sudi mendengar keluh kesah lebih 6,000 nelayan di Pulau Pinang yang menentang projek tersebut.

“Kami akan berjumpa dengan Anwar secepat mungkin dan Selasa ini, satu surat akan diserahkan kepada beliau.

“Kita akan mengetengahkan isu ini semula kepada Anwar dan berharap beliau mendengar rayuan kami agar PSI dibatalkan terus. Kami yakin beliau akan mengambil serius isu ini kerana beliau pernah ke sini dahulu untuk berjumpa dengan semua nelayan yang terkesan dengan PSI.

“Selain itu, kami juga yakin beliau akan meneliti aduan kami kerana selain Anwar, anaknya yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar juga pernah bersama-sama kami menentang projek ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini merancang untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang mana, ia melibatkan projek LRT, monorel dan tiga buah lebuh raya yang dijadualkan siap pada tahun 2050.

Bagi merealisasikan PTMP, Kerajaan Pulau Pinang melaksanakan PSI melibatkan tambakan kira-kira 1,821 hektar tanah yang mana, ia sebagai perjanjian pertukaran tanah untuk membiayai cadangan PTMP bernilai RM46 bilion.

Beliau berkata, Pen Mutiara berharap agar kerajaan yang baru ditubuhkan ini akan membatalkan PSI tanpa syarat seperti yang dimahukan oleh nelayan yang terkesan.

“Beliau pernah dengan kami ketika satu perjumpaan di Unit Nelayan Sungai Batu kira-kira tiga tahun lalu. Ketika itu, beliau mengatakan akan berbincang dan mendengar penjelasan daripada kerajaan negeri berhubung PSI.

“Anwar juga pernah mengatakan beliau tidak pernah tahu dalam mana-mana projek tambak laut secara besar-besaran di seluruh dunia yang mana nasib nelayan terjamin. Atas faktor itu, kami yakin beliau akan meneliti rayuan kami agar projek ini dibatalkan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya projek ini tetap diteruskan, pihak Pen Mautiara akan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Selain Anwar, Nurul Izzah juga pernah menggesa kerajaan Pusat dan Kerajaan Pulau Pinang supaya membatalkan projek PSI serta-merta.

Ini kerana, beliau menyifatkan projek tersebut telah tersasar daripada tujuan asalnya, lebih banyak menumpukan kepada kepentingan sesetengah pihak selain mengabaikan kelestarian alam sekitar serta menjejaskan punca rezeki golongan nelayan.

Dalam pada itu, Ketua Unit Nelayan Teluk Kumbar, Roslizan Ramli berkata, beliau berharap semua wakil rakyat yang berkempen di kawasan nelayan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan mengotakan janji mereka untuk membantu komuniti nelayan dalam pembatalan PSI.

“Saya berharap wakil rakyat yang berkempen tempoh hari mengotakan janji dengan bersama-sama kami untuk mendesak agar projek ini dibatalkan.

“Kami juga berharap wakil-wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada kami akan menyatakan pendirian mereka kepada Anwar, sekali gus menguatkan lagi desakan kami ini,” katanya.

Sebelum ini, PSI ditentang oleh lebih 6,000 nelayan Pulau Pinang kerana ia akan merosakkan alam sekitar secara kekal terutama di kawasan selatan Pulau Pinang yang mana, kawasan itu mengandungi bentuk muka bumi yang berteluk iaitu banyak habitat ikan membiak di kawasan tersebut.

Sekiranya projek tersebut dilaksanakan, ia akan menyebabkan punca pencarian nelayan akan terjejas.