Piala AFC 2023: Sabah mahu bentuk pasukan lebih awal

in Sukan by

Kim Swee

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee akan menilai semula semua pemain sebelum memutuskan senarai akhir bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2023 termasuk kejuaraan Piala AFC.

Menurut beliau, selepas penilaian dilakukan beliau akan mengambil keputusan sama ada mengekalkan atau menggugurkan mana-mana pemain ataupun menambahbaik pemain bagi memastikan Sabah FC tampil dengan barisan terbaik musim depan.

“Saya harap sesiapa yang dikekalkan dapat terus bersama, kita tahu bukan mudah untuk mendapatkan pemain kerana banyak pasukan juga akan membuat penambahanbaikan untuk pasukan masing-masing.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat baik bagi saya walaupun setahun kita bersama-sama, tetapi para pemain telah berusaha dengan begitu baik.

“Ini menjadikan kita layak walaupun dengan slot ketiga tetapi saya percaya walaupun lambat itu satu pencapaian yang cukup positif,” katanya pada Ahad.

Kim Swee berkata, terima kasih diucapkan atas sokongan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Firdaus Akhbar Khan termasuk pengurus pasukan, Marzuki Nasir yang selalu bersama-sama pasukan.

Sebelum ini, Sabah akan beraksi di pentas Piala AFC 2023 apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Malaysia 2022 selepas menewaskan juara 33 kali Selangor, 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terdahulu menetapkan peraturan sekiranya juara bagi saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia merupakan kelab sama, maka slot kedua ke saingan Piala AFC akan diberikan kepada pasukan menamatkan saingan di tempat ketiga Liga Super.

The Rhinos bimbingan Kim Swee sebelum itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga selepas mengumpul 42 mata daripada 22 perlawanan.

Slot pertama kejuaraan tahap dua kelab Asia itu menjadi milik Terengganu FC (TFC) yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua.

Sementara itu, menurut Kim Swee, persiapan awal perlu dijalankan walaupun kejuaraan Piala AFC hanya akan bermula pada pertengahan tahun depan.

“Pada awal musim kita harus mengenalpasti kekuatan serta setiap kelemahan dan ini memberi kelebihan kepada Sabah FC.

“Apa yang penting di sini, saya berharap semua pemain Sabah FC sentiasa cergas kerana kita akan melalui proses amat padat dengan jadual-jadual liga, Piala Malaysia, Piala FA dan juga Piala AFC,” katanya.