Piala Dunia ISTAF: Malaysia jumpa Thailand di final

in Sukan by

Malaysia membenam cabaran tuan rumah, Korea Selatan 21-10, 21-15 pada aksi separuh akhir Piala Dunia ISTAF 2022. – Foto Facebook MASTAF

SKUAD sepak takraw lelaki negara melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) 2022, selepas membenam cabaran tuan rumah, Korea Selatan pada aksi separuh akhir pada Ahad.

Pada pertembungan yang berlangsung di Kompleks Sukan Daejon Hanbat di Daejeon itu, skuad negara dibarisi trio Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Mohammad Azlan Alias dan Amirul Zazwan Amir, melakar kemenangan 21-10, 21-15 dalam masa 50 minit.

Menanti Malaysia di pentas final esok ialah musuh tradisi yang juga juara bertahan Thailand, yang menundukkan Jepun 21-8, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada edisi kali ini, skuad Gajah Putih membawa Kritsanapong Nontakote, Pornthep Tinbangbon, Thawisak Thongsai, Phutawan Sopa, Yodsawat Uthaijaronsri dan Rachan Viphan.

Kesemua pemain kecuali Thawisak, merupakan pemenang tiga pingat emas di Sukan SEA Vietnam di Hanoi, Mei lepas dan juara Piala Raja Thailand.

Semalam, skuad Malaysia kendalian Azhar Sarabini menundukkan Jepun 21-8, 21-9 dan India 21-5, 21-12 dalam perlawanan peringkat Kumpulan F Divisyen Perdana, untuk layak ke peringkat separuh akhir. – Bernama