PN sedia kekalkan jawatan MB kepada BN

in Politik by

Tuan Ibrahim ketika menyantuni penduduk sempena program Jamuan Kesyukuran DUN Cheka pada Sabtu.

LIPIS – Kesediaan Perikatan Nasional (PN) Pahang mengekalkan jawatan Menteri Besar kepada Barisan Nasional (BN) demi kestabilan politik di negeri itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di peringkat awal PN bersedia bersama dengan BN memandangkan jumlah kerusi yang dimenangi di Dewan Undangan Negeri (DUN) hampir sama hanya dibezakan satu kerusi setakat ini.

“Kita bersedia mengekalkan jawatan MB kepada BN dengan beberapa perkara lain dibincangkan bersama seperti agihan kerusi Exco dan lain-lain.

“Walau bagaimanapun itu tawaran PN kepada BN demi kestabilan politik di Pahang dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim memberitahu, PN juga membuat tuntutan antaranya tiga daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diberi kepada PN, Exco sama banyak dan Speaker menjadi milik PN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya-ALLAH, sinar harapan itu ada di mana PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” tambah beliau yang juga ADUN Cheka.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN memenangi 17 kerusi berbanding BN 16 kerusi manakala Pakatan Harapan (lapan).

Kerusi DUN Tioman pula ditangguhkan selepas calon PN,Md Yunus Ramli meninggal dunia pada 19 November lalu.