PRU15: 'Tidak adil minta saya beri laluan'

in Politik by

Sivaraj

PADANG SERAI – Bukan suatu keadilan jika calon Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon agar diberi laluan mudah memenangi kerusi Parlimen Padang Serai sedangkan pertandingan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi itu masih belum bermula.

Itu antara jawapan diberikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk C Sivaraj apabila ditanya berhubung permintaan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mahu agar kerusi itu dimenangi PH dengan laluan mudah.

Menurut Sivaraj, Mohamad Sofee sepatutnya memberi peluang kepadanya menang di kerusi tersebut memandangkan beliau sudah memberi khidmat selama tiga tahun di kawasan berkenaan.

“Saya telah ‘bekerja’ di sini sejak tiga tahun lalu manakala Sofee baru tiba di sini sehari sebelum hari penamaan calon (24 November).

“Jadi, adalah tidak adil untuk meminta saya memberi laluan kepada Sofee hanya kerana BN memberi laluan kepada calon PH di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tioman. Itu bukan masalah saya,” katanya ketika ditemui media semasa kempen dari rumah ke rumah di Kampung Padang di sini pada Ahad.

Sebaliknya, Sivaraj menegaskan bahawa calon PH adalah orang yang harus memberi laluan kepadanya untuk bertanding dengan calon PN bagi memenangi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Jika beliau bersetuju PH dapat membentuk Kerajaan Persekutuan dengan bantuan BN, adalah lebih bijak beliau memberi laluan kepada kita supaya BN dapat berlawan terus dengan Perikatan Nasional.

“Tidak adil anda meminta saya memberi laluan, itu tidak logik, saya tidak akan sekali-kali bersetuju dengan permintaan itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PKR Kedah dan Setiausaha PH Kedah menaruh harapan agar BN berkompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan PN di situ.

Ini kerana kata beliau, kemenangan di Padang Serai pada PRU15 yang tertangguh itu akan menjadi hadiah amat bermakna untuk diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.

Media turut melaporkan, calon PH bagi kerusi DUN Tioman di Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly sedia memberi laluan kepada calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, sekiranya diarahkan berbuat demikian.

Pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditangguhkan berikutan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada hari pengundian PRU15.

Begitu juga dengan pengundian bagi Parlimen Padang Serai ditunda berikutan kematian calon M Karupaiya yang juga penyandang kerusi itu yang meninggal dunia beberapa hari sebelum PRU15.